Tinta Amir IU 0809: Salam Aidilfitri
Thu, Sep 25, 2008

Assalamu’alaikum w.b.t
Alhamdulilah kita masih dikurniakan nikmat Iman dan Islam, nikmat usia serta nikmat kesihatan oleh Allah S.W.T. untuk meneruskan ibadah puasa di sepuluh hari terakhir Ramadhan ini. Sesungguhnya marilah kita memanjatkan kesyukuran kepadaNya dan banyakkan berzikir memujiNya. Semoga 10 hari yang berbaki ini tidak disia-siakan begitu sahaja.
Mungkin ada antara kita tidak menyedari, Ramadhan kian hampir meninggalkan kita dan kini Aidilfitri pula akan menjengah tiba dengan membawa keceriaan, kebahagiaan dan 1001 rahmat yang tersirat. Aidilfitri merupakan hari kemenangan bagi umat Islam tetapi adakah kita berjaya melalui Ramadhan dengan menjadi golongan yang pertama seperti tafsiran dalam ayat yang sering kita dengar :
“Wahai orang-orang beriman! Diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas umat sebelum kamu supaya kamu bertakwa”
(Surah Al-Baqarah-183)
Mengikut seorang ulama’mtafsir (Ibnu Kathir), beliau menafsirkan ayat ini dengan menyatakan:
Di dalam bulan Ramadhan ini akan ada tiga jenis golongan berpuasa:
• Golongan yang apabila selepas Ramadhan, mereka akan jadi lebih baik orangnya.
• Golongan yang apabila selepas Ramadhan, mereka jadi akan sama sahaja orangnya.
• Golongan yang apabila selepas Ramadhan, mereka akan jadi lebih buruk orangnya.
Muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah sekalian,
InsyaAllah kita semua akan pulang ke kampung masing-masing. Kita semua akan dapat bertemu kembali dengan ibu bapa kita, adik beradik dan sanak saudara yang lain. Pada hari lebaran yang akan tiba tidak lama lagi, marilah kita ambil peluang ini untuk bermaafan antara ahli keluarga kita dan sahabat handai.
Saya mewakili ahli tanzim Institusi Usrah sesi 08/09 ingin memohon sejuta kemaafan jika ada sebarang salah dan silap. Selamat Hari Raya Aidilfitri juga diucapkan kepada semua ahli Institusi Usrah serta kepada semua warga MMU yang beragama Islam. Sambutlah Hari Raya ini dengan penuh penghayatan dan kesederhanaan.
Kami juga ingin mengucapkan Selamat Menghadapi Peperiksaan Akhir Semester 1 yang akan bermula pada 06/10/2008 hingga 19/10/2008. Tingkatkan usaha dan banyakkan berdoa di bulan Ramadhan ini dan ketika hari lebaran nanti. InsyaAllah kita semua akan berjaya ketika peperiksaan itu dengan keizinan dan keredhaanNya.
Wallahu’allam.
Muhammad Nurhazwan Bin Harun
Presiden
Institusi Usrah 0809
Multimedia University
Kampus Melaka





Leave a Reply